Penerangan Kata Sendi "kepada"
Kata sendi nama kepada terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan.
Contoh-contoh menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan dan unsur mujarad.
- Sila kembalikan borang itu kepada kerani pejabat ini.
- Sisa makanan itu diberikan kepada kucing.
- Ali mengirim surat kepada abang.
- Rumput yang terkumpul itu segera diberikan kepada lembunya.
- Pastikan anak-anak anda tidak terdedah kepada bahaya dadah.
Namun demikian, kata sendi nama boleh juga digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk institusi yang ada kaitan dengan manusia :
- Ibu bapa telah menghantar surat bantahan kepada sekolah tersebut.
- Dewan Bahasa dan Pustaka telah menghadiahkan buku bacaan kepada beberapa buah perpustakaan sekolah.
Contoh-contoh menyatakan pecahan
- Peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan.
- Waktu persekolahan dipecahkan kepada sesi pagi dan sesi petang.
- Bermula pada tahun ini, pengajian universiti itu dipecahkan kepada dua semester.
- Suhu yang sangat tinggi sahaja yang dapat menguraikan air kepada juzuk-juzuknya.
Contoh-contoh menyatakan perubahan keadaan
- Suhu badannya meningkat kepada 39O C.
- Keadaan ekonomi berubah kepada tahap yang lebih baik.
- Harga pasaran saham menurun kepada paras yang membimbangkan.